Sunday, 21 September 2014

Dugaan Hidup

Assalamualaikum warrahmatullahiwabarrakaatuh :)

Ini entri pertama aku setelah bertahun tak sentuh blog. Mungkin sebab dah ketandusan idea heh.
 Ok entri ini bertajuk "DUGAAN HIDUP"
Hasil penulisan seorang rakan dari group usrah di whatsapp.

In shaa Allah bermanfaat untuk semua.



Bismillah 

Hidup ini indah,
 andai kita memandang dan melihatnya dengan indah.
Hidup ini derita, 
andai kita memandangnya sebagai satu penderitaan yang tak kesudahan.

Bila diri dilanda duka yang melemahkan iman dan semangat,
Renungkan kembali kata kata cinta Allah tentang kenapa kita diciptakan dibumi ini.

Demi menenangkan hati yang celaru,
Demi mencari kembali hakikat tujuan kita diciptakan
Supaya kita sedar akan tugas yang perlu kita laksanakan di muka bumi ini.

"Dan tidak AKU menciptakan jin dan manusia melainkan hanya
untuk beribadah kepada AKU"
(Adz-Dzariyat 51:56)

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan,
 "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji?
Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka,
maka sesungguhnya Allah mengetahui oran-orang yang benar
dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta"
(Al-Ankabut, ayat 2 & 3)

Sering kali kita terdengar luahan rasa
insan-insan yang berputus asa ketika
diuji. Ada ketikanya, mereka mencari
penyelesaian yang salah, mencederakan
diri sendiri, menyakiti diri sendiri,
menyeksa diri sendiri dan
seumpamanya.Ada jua yang sering
menyalahkan takdir yang menimpa diri,
mengatakan ketidakadilan terjadi 
terhadap mereka, memikirkan tiada yang
menyayangi diri mereka, termasuklah Allah
yang difikirkan tidak pernah memihak
pada kehendaknya.Ada jua yang
memikirkan mati jalan penyelesaian bagi
penderitaan yang dihadapi. Pabila iman di
dada semakin tipis, aqidah yang dipelajari
sedari kecil semakin pudar, yang tinggal
hanya desakan nafsu dan hasutan
syaitan. Inilah yang akan terjadi.
Ini bukan sekadar kata-kata kosong.
Kata-kata yang tidak memahami tapi
adalah kata-kata dari kisah yang benar.
Kerana diri ini jua pernah mengalaminya
dan melihatnya sendiri sewaktu ketika
dahulu. Mujur, saat dugaan datang
menyapa, iman diri walaupun menipis, masih
lagi ada saki baki iman kekal teguh di jiwa
yang menghindarkan dari melakukan
perkara-perkara yang buruk.


TINDAKAN ANDA KETIKA MENGHADAPI
UJIAN HIDUP?
BUNUH DIRI ATAU SOLAT TAUBAT?

MENANGIS dan MERAUNG ATAU BERDOA?

Menangis, meraung, marah, mengamuk
benda yang selalu dilakukan untuk
mengekspresikan rasa di dalam hati.
Tapi
percayalah, air mata yang jatuh di atas
sejadah itu lebih baik dari air mata yang
jatuh di atas bantal.

 Mendiamkan diri
itu lebih baik dari memaki hamun.

Tersenyum itu lebih baik dari muka yang
masam mencuka. Kerana itu lebih
mententeramkan jiwa yang sedang
bergelora.

Janganlah cepat berputus asa dalam
meniti ujian yang mendatang. 
Janganlah
mencari salah siapa atas dugaan yang
menimpa. Redhakan lah diri. Lapangkan
hati. Bukakan lah minda. Terima
ketentuan setiap yang terjadi. Yakinlah
dengan setiap hikmah yang ada. Kukuhkan
lah kesabaran dalam jiwa.

“Janganlah kamu berputus asa daripada
rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah
mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya
dialah yang Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani..”
(Az-Zumar 40:53)

Teringat satu ketika dulu, pabila diri
dihimpit dengan rasa sedih yang teramat
sangat, waktu itu hanya air mata jadi
peneman yang setia. Tak berhenti-henti
tangis dari pagi sampai malam. Sehingga
menyebabkan mata tak dapat dilelapkan,
makanan tak dapat ditelan.

Tiba-tiba hati tergerak dan terasa ingin
mengambil wuduk. Lalu langkah kaki
diatur menuju ke surau yang berdekatan.
Surau yang jarang di imarahkan. Surau
yang sunyi sepi tanpa ada seorang manusia
pun di dalamnya. Sejadah dibentang.
Lalu solat sunat dilaksanakan. Tangan
ditadahkan. Segalanya diadukan kepada-
Nya. 
Hati diserahkan 100% dan
dihadapkan kepada-Nya.
Air mata tumpah sekali lagi. Dan air mata
itu berhenti tatkala tertidur di atas
sejadah itu dengan diri yang masih
lengkap bertelekung. 
Bila terjaga dari
tidur, hati terasa lapang, tenang,
kegelisahan yang melanda hilang begitu
sahaja. Bibir sudah mampu mengukirkan
senyuman. Keputusan terhadap
permasalahan diambil dengan mudah dan
tegas tanpa ada apa-apa yang mampu
mengugat keyakinan diri lagi. 
Tatkala itu
hidayah mula datang mengusik hati
nurani. Diri mula sedar akan hakikat
kata-kata yang sering didengar..

“Dengan mengingati Allah, jiwa pasti akan
menjadi tenang”

Dugaan dan ujian itu adalah penyeri
kehidupan kita. Itulah hakikatnya.
Tersenyumlah ketika dirimu diuji. Kerana
ketahuilah, dengan diuji, kita tahu
bahawa Allah masih mengambil berat
tentang kita. Tak mengabaikan kita dan
menyayangi kita. Lalu kita diuji untuk Dia
mengetahui tahap keimanan diri kita
terhadap-Nya. Untuk Dia ketahui tahap
kita mencintai-Nya. Ujian jua untuk
menguji kesabaran kita dalam menghadapi
musibah yang menimpa.
Tanpa ada ujian, tiadalah serinya hidup
kita. Terasa pudar dan hambar tanpa
ada sebarang cabaran untuk kita hadapi.
Kegembiraan itu hanya dapat dirasai
apabila kesedihan berlalu. Bahagia itu
datang pabila derita dapat diatasi.
Dugaan dan ujian ini juga untuk mengajar
kita supaya berfikir dan menjadi lebih
kuat dan tabah dalam menjalani
kehidupan harian di dunia ini.
Betapa halus cara Allah mendidik kita
agar kita tak terleka dalam menghadapi
dunia yang fana ini.

 Carilah hikmah yang
tersembunyi di sebalik setiap kejadian
kerana yakinlah dugaan yang datang
bukan untuk menghukum tetapi untuk
membimbing diri kita. 
Jadi jelaslah
sekarang cara yang paling sesuai ketika
menghadapi dugaan hidup adalah
menyerahkan hatimu kepada Allah.
Mohonlah perlindungan dan bantuan-Nya.
Kerana Allah itu Maha Mendengar dan
Maha Mengetahui segala yang tersirat di
dalam nuranimu. Allah jua yang mampu
menbantu kita kerana Allah itu Maha
Berkuasa.


(p/s: “bila engkau memandang segalanya
dari Tuhanmu, yang menciptakan
segalanya, yang menimpakan ujian, yang
menjadikan sakit hatimu, yang
membuatkan keinginanmu terhalang, serta
menyusahkan hidupmu..pasti akan damai
lah hatimu, kerana masakan Allah
sengaja mentakdirkan segalanya untuk
sesuatu yang sia-sia..bukan Allah tak
tahu deritanya hidupmu, retaknya
hatimu, tapi mungkin itulah yang Dia mahu
kerana Dia tahu hati yang sebeginilah
yang selalunya lebih lunak dan lebih
mudah untuk dekat dan akrab dengan-
Nya..”)